Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 3 APRIL 2024 : Penjawat awam Negeri Pahang tidak henti berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, selepas pengumuman pemberian Bantuan Khas Aidilfitri tahun 2024 sebanyak RM1,000 yang akan dikreditkan esok.
Puan Suriani Abdul Mumid, 55, menganggap pemberian bantuan khas ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat terutamanya ketika tiba musim perayaan.

“Memang tak sangka sungguh akan dapat. Jadi, saya rasa bersyukur dan berterima kasih sangat kepada Menteri Besar atas keprihatinan beliau pada kita semua,” katanya.
Bagi Encik Abdul Mutalib Mohd Ali, 49, bantuan ini amat membantunya terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar seperti sekarang.

“Bila MB umum untuk dapat bantuan RM1000 itu, saya rasa gembira sangat disebabkan keadaan sekarang ni dengan harga barang naik,” katanya.
Sementara itu, Puan Anidatulakmar Mat Taib, 51, berkata pemberian bantuan khas ini dapat membantu dirinya dan keluarga untuk menyambut lebaran nanti.

“InsyaAllah saya akan panjangkan rezeki ini pada mak, ayah dan adik-adik untuk tambahlah apa keperluan yang ada untuk hari raya ni,” katanya.
Encik Norsyamfarhan Samsugimi, 31, turut mengambil kesempatan untuk menyuarakan rasa terima kasihnya kepada Menteri Besar Pahang di atas bantuan khas tersebut.

“Terima kasih banyak-banyak Menteri Besar Pahang kerana membantu untuk persiapan raya kami penjawat awam. RM1,000 ini sedikit sebanyak dapat membantu dari segi persiapan raya,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, mengumumkan pemberian Bantuan Khas Aidilfitri tahun 2024 berjumlah RM1,000 kepada Penjawat Awan negeri ini pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya Ke Pahang di Stadium Titiwangsa yang lepas.
Pemberian Bantuan Khas Aidilfitri RM1000 ini bukan sahaja menyemarakkan suasana Raya, tetapi juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyatnya. – PAHANGMEDIA

