KUANTAN, 30 MAC 2024 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan agar mana-mana pihak tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang terutamanya berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah seperti yang berlaku di KK Mart Bandar Sunway, Petaling Jaya beberapa minggu lalu.
Katanya, beliau telah mengambil maklum mengenai satu insiden sebuah kedai serbaneka KK Mart Cawangan Sungai Isap, Kuantan yang dilempar molotov cocktail kira-kira pada jam 5.14 pagi tadi.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku awal pagi tadi berunsur khianat atau provokasi yang bertujuan mencetuskan ketidakselesaan di kalangan masyarakat.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas insiden tersebut.
“Saya berharap rakyat di negeri ini bertenang dan memberi keyakinan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat tindakan susulan berhubung insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas beliau lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga telah menzahirkan kemurkaan serta menitahkan tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti bersalah. – PAHANGMEDIA

