Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 MAC 2024 : Kewujudan Pasar Sera dilihat menjadi medan untuk usahawan yang terdiri daripada anak muda dan orang tempatan khususnya di Kuantan dan negeri ini mengembangkan usaha mereka.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda yang baru berniaga termasuk secara atas talian menambah pendapatan.
“Saya melihat orang berpusu-pusu malah ramai yang beratur, berbaris nak beli barangan makanan atau pakaian yang ada di sini. Ini menunjukkan bahawa brand dari Pasar Sera ini makin dikenali.
“Saya juga ada berbual dengan beberapa peniaga yang dia meniaga di tempat lain, sebelum ni mungkin pendapatan mereka biasa-biasa saja tapi bila berniaga di Pasar Sera ini pendapatan berlipat kali ganda daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan beramah mesra dengan penganjur dan pengunjung di Pasar Sera, KotaSas di sini.
Sementara itu beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga sangat teruja untuk membantu penganjur agar mereka boleh membantu lebih ramai anak muda.
“Kerajaan Negeri akan support, nanti kita bincang bentuk kerjasama yang boleh dilakukan bersama, yang penting Pasar Sera ini dapat menyediakan platform kepada usahawan muda untuk tambah pendapatan.
“Setakat ini yang berdaftar kalau di KotaSas ini adalah seramai 400 orang, tapi ruang yang ada hanya untuk 50 orang. Jadi InsyaAllah kita akan sokong dan usahakan untuk bantu anak muda berniaga,” katanya. -PAHANGMEDIA

