Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 31 MAC 2024 : Modul Youth Empowerment (YES) dilihat mampu mencungkil kualiti istimewa yang ada pada golongan belia sekaligus memenuhi hasrat untuk menyediakan barisan pemimpin pelapis di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, modul YES yang lengkap dan komprehensif cukup penting untuk melahirkan pemimpin belia yang berkarisma, berketerampilan serta berdaya saing sekaligus menjadi aset ada Kerajaan Negeri Pahang
“Cabaran ketika ini terutama selepas wabak COVID-19 melanda dunia dan negara di mana ia telah mengubah gaya hidup, landskap kehidupan, landskap kerjaya dan pelbagai kaitan kepada golongan belia.
“Semua cabaran perlu dilalui dengan cermat oleh para belia, jika mereka tidak menyedarinya, maka mereka mungkin tidak boleh bersaing dalam dunia hari ini yang sudah jauh berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu dan memenuhi sesi soal jawab bersama peserta Bengkel Pemurnian Modul dan Training of Trainers (T.O.T) Youth Empowerment Society peringkat Zon dan Negeri Pahang di Scapes, di sini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Encik Mua’zamir Jili dan Timbalannya, Encik Sahfrul Kadir serta Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Dalam pada itu YB Tuan Fadzli berkata, pemimpin belia yang berkualiti boleh membimbing serta menyuntik kesedaran kepada belia lain untuk bersama-sama mendepani cabaran-cabaran dalam kehidupan.
‘Itulah sebabnya penting program YES ini kerana daripada program ini kita lahirkan individua yang berkualiti, berdaya kepimpinan serta mampu mengharungi cabaran hari ini.
“Mereka kemudiannya mampu menjadi pemimpin belia yang boleh membuat keputusan dengan matang, jiwa yang tenang selain menjadi ejen dan aset berharga kepada Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

