KUANTAN, 30 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah meminta semua masjid di Negeri Pahang melaksanakan Solat Istisqa’ memohon diturunkan hujan dan Solat Hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat.
Baginda bertitah, ini berikutan fenomena El-Nino menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering yang boleh menyebabkan kesan sampingan dan risiko mengalami dehirasi dan strok haba.
“Fenomena ini juga boleh menyebabkan krisis bekalan air, kebakaran hutan dan penyakit berkaitan jerebu,” baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda telah meninjau paras air Sungai Pahang yang dilaporkan surut akibat fenomena El-Nino tempohari.
Sehubungan dengan itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menasihatkan rakyat Negeri Pahang khususnya agar meminum air secukupnya selepas berbuka puasa dan menghadkan aktiviti di luar.
Di samping itu Baginda menasihatkan rakyat agar berjimat dalam penggunaan air.
Mereka yang mengalami penyakit-penyakit kesan dari fenomena ini segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. – PAHANGMEDIA

