Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya menjadikan masjid sebagai pusat sehenti bagi segala aktiviti setempat.
Baginda dalam titah turut menzahirkan kegusaran berkenaan senario keterbatasan peranan masjid dalam kalangan masyarakat masa kini.
“Masjid ialah one stop center bagi aktiviti umat Islam dalam satu-satu komuniti atau pemukiman. Namun secara realitinya, peranan masjid pada hari ini cukup terbatas sehingga dianggap hanya dihadkan untuk ibadah solat berjemaah dan aktiviti pengajian ilmu sahaja.
“Peranan-peranan lain yang melibatkan aktiviti masyarakat tidak lagi dijalankan di masjid. Kehilangan minat para jemaah datang ke masjid mungkin berpunca daripada pengurusan masjid yang tidak proaktif dan pegawai masjid yang tidak melakukan perubahan mengikut keperluan persekitaran.
“Malah tanggungjawab ahli kariah terhadap masjid juga sangat rendah. Sebagai akibatnya, masjid menjadi kurang imarah dengan jumlah jemaah sekalipun meriah dengan landskap dan juadah. Kita tidam boleh membiarkan senario ini terus berlaku,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bertitah demikan pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Tekal, Temerloh.
Baginda bertitah sekiranya perkara ini berlaku dalam jangka masa panjang, umat Islam akan menjadi lemah.
“Sebagai kesan jangka masa panjangnya, kesatuan umat Islam setempat akan mula lemah. Apabila kita tidak bersatu maka perpecahan pasti menunggu,” titah baginda.
Baginda turut menyeru ketua keluarga untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai usaha menyemai dan membina kekuatan kasih sayang dan kemesraan bersama ahli keluarga.
“Praktikkannya terutama pada saat berbuka puasa. Ketika seluruh ahli keluarga telah berkumpul selitlah dengan ucapan bahagia, pesanan berharga serta perkataan membina buat setiap ahli keluarga kerana inilah saat yang jarang-jarang tiba untuk semua ahli keluarga bersemuka.
“Pahatlah memori kebaikan pada detik ini kerana sehabis bulan Ramadan, masing-masing akan kembali dengan kesibukan terhadap tugas,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

