Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 MAC 2024 : Tidak wujud sebarang sentimen di antara Kerajaan Negeri Pahang dengan pihak Tanah Aina berikutan penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan tersebut.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tindakan yang diambil bagi menutup Tanah Aina bukanlah perkara baharu dan tiba-tiba diambil namun ia berdasarkan peraturan yang ditetapkan.
“Kita dah beritahu lama dah bukan kata hari ini kita nak ambil tindakan, hari ini terus kita pergi buat tindakan, bukan.
“Dan untuk penguatkuasaan dia ada peraturan-peraturan tertentu seperti mengeluarkan amaran, notis, dan sebagainya. Oleh sebab mereka ingkar, tidak mematuhi notis dan amaran daripada Kerajaan Negeri jadi Kerajaan Negeri melalui penguatkuasa terpaksa mengambil tindakan.
“Sekiranya ada yang mengatakan Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan tanpa pengetahuan, itu tidak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran PETRONAS di Hotel Grand Darul Makmur.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan; Pengurus Besar, Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, YBrs. Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli; Pegawai Daerah Kuantan, YH. Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar; dan Penolong Pengarah 1, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, YBrs. Puan Suryani Mohamad.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga tidak menolak sekiranya pihak Tanah Aina memohon rayuan berkenaan perkara ini namun ia akan dipertimbangkan terlebih dahulu.
“Rayuan boleh mohon, permohonan untuk dapatkan, kemudian Kerajaan Negeri akan pertimbangkanlah.
“Rayuan, mohon tanah semua boleh, kita tidak menghalang warganegara terutama rakyat Negeri Pahang untuk membuat rayuan, mohon tanah.
“Kemudian terpulang kepada pihak berkuasa negeri untuk mempertimbangkan sama ada meluluskan atau tidak,” katanya.
Mengulas mengenai kawasan berkenaan turut termasuk di dalam promosi bagi menarik pelancong ke daerah Bentong, beliau berkata ia perlu melalui proses yang betul.
“Kita menggalakkan (promosi) tapi kena buat cara betullah bukan dengan mempromosikan dengan cara boleh lalu jalan yang tidak sepatutnya dilalui. Itu cara tak betul.
“Kita galakkan tapi kena buat cara betul. Dan kita juga telah berbincang dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan mereka mengesahkan bahawa jalan itu tidak sepatutnya dibuka untuk laluan sebab ini lebuhraya,” katanya. -PAHANGMEDIA

