Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Fadhil Roslizan (PMD)
RAUB, 26 MAC 2024 : Seramai 400 orang pelajar dari 17 buah sekolah terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di kawasan Dong menerima bantuan awal persekolahan daripada Yayasan Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, berbentuk peralatan seperti bag sekolah, alat tulis dan botol air sememangnya menjadi keperluan asas pelajar.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi tumpuan terhadap golongan yang kurang berkemampuan malah keperluan mereka dalam bidang pendidikan menjadi keutamaan.
“Kali ini melalui Yayasan Pahang bantuan diserahkan kepada pelajar yang memerlukan.
Bantuan ini adalah sebagai motivasi dan pendorong kepada pelajar-pelajar untuk mencipta prestasi dan pencapaian yang lebih baik dalam pelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan daripada Yayasan Pahang kepada pelajar di 17 buah sekolah terlibat di sekitar DUN Dong.
Sementara itu beliau berharap agar bantuan berkenaan dapat memberi semangat baru sekaligus pelajar terlibat tidak rasa kekurangan berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain.
“Kehadiran saya ke 17 buah sekolah yang dibuat selama dua hari iaitu semalam dan hari ini, dapat lihat rata-rata mereka sangat ceria dan gembira bila dapat bantuan ini.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Pahang catat prestasi semakin baik sekarang maka lebihan pendapatan tersebut disalurkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan pendidikan seperti hari ini. Kita doakan supaya prestasi terus cemerlang dan banyak lagi bantuan yang boleh disalurkan kepada rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA

