Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
MARAN, 21 MAC 2024 : Ketibaan bulan mulia bagi umat Islam iaitu Ramadan dimanfaatkan sebaiknya oleh pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bagi merapatkan silaturrahim bersama bekas-bekas ADUN yang pernah menyumbang bakti di Pahang.
Yang Di-Pertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, peluang untuk bertemu dan bertanya khabar menerusi Program Ziarah Kasih adalah medium terbaik bagi merapatkan hubungan sebagai tanda ingatan oleh Kerajaan Negeri.
“Pada kali ini kita melawat orang (ADUN) Melayu sebab mereka kini menunaikan puasa di bulan Ramadan dan juga InsyaaAllah kita akan menyambut Hari Raya.
“Jadi kita tumpukan untuk ADUN-ADUN Melayu, yang baru-baru ini kita buat semua kita pergi tempat orang Cina sebabnya mereka ini ingin menyambut Gong Xi Fa Cai, jadi kita hargai dan semua mereka menyatakan kegembiraanlah dan saya pun dapat berjumpa walaupun kalau selalunya kita berjumpa dalam keadaan yang tidak formal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih bersama bekas ADUN Chenor, YH. Dato’ Haji Mohamed Arifin Awang Ismail di rumahnya di Kampung Baru Jengka Batu 13, Chenor.
Sehingga kini sebanyak 18 bekas ADUN di Pahang yang telah diziarahi menerusi Program Ziarah Kasih yang mula dilaksanakan pada tahun lalu.
Sementara itu, Dato’ Haji Mohamed Arifin yang pernah memenangi kerusi ADUN Chenor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) turut menyatakan rasa gembira dan terharu dengan kunjungan oleh YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar yang disifatkan prihatin dan cakna terhadap rakan seangkatan yang kini tidak lagi menjadi wakil rakyat.
Beliau yang kini berusia 68 tahun masih lagi aktif di dalam arena politik serta turut menjalankan perniagaan selepas melepaskan beberapa jawatan penting di dalam parti.
YH. Dato’ Haji Mohamed Arifin bersama isteri, YBhg Datin Hajah Nor ‘Aini Ismail menyatakan penghargaan dan gembira terhadap program ziarah kasih yang pertama kali dilaksanakan sebagai menghargai jasa dan bakti bekas-bekas wakil rakyat.
“Saya ucapkan terima kasih san cukup terharu dengan program yang dibuat oleh speaker baru Dewan Negeri Pahang ini.
“Ini satu pendekatan baik yang dilaksanakan oleh YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar yang tidak melupakan bekas-bekas ADUN walaupun mungkin kita hanya sepenggal tidaklah besar mana jasa yang kita beri tetapi beliau amat menghargai dan tidak melupakan kami,” katanya.
Beliau berharap program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA

