Oleh: Fansurina Abdullah dan Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 20 MAC 2024 : Pengurniaan Rumah Kurnia Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Bachap, Temerloh, membawa rahmat kepada mangsa kebakaran, Puan Rasiah Kadir, 63.
Menurut Puan Rasiah, dia yang merupakan ibu tunggal selepas kematian suaminya, Mat Nor Yaacob pada tahun 2021 memberikan kesukaran kepadanya apatah lagi selepas rumahnya musnah dalam kebakaran pada awal tahun ini.

“Kami sekeluarga sangat bersyukur dengan bantuan ini. Ini memberi kami peluang baru untuk memulakan semula kehidupan kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (RU’RASA) dan Rumah Kurnia Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Sungai Buloh, Mentakab dan Kampung Bachap di sini semalam.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat mengurniakan rumah berkenaan.
Sementara itu, seorang penerima lain, Puan Zaitun Karim, 64, bersama suaminya, Encik Zakaria Abdul Hamid, 67, juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan yang diberikan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sebab tahun ini berkesempatan untuk beraya rumah sendiri tahun ini. Kalau sebelum ini duduk rumah abang,” katanya.
Pada majlis tersebut seramai 12 penerima telah menerima kunci rumah RU’RASA dari Mukim Semantan, Mukim Kerdau, Mukim Jenderak, dan Mukim Mentakab di Kampung Sungai Buloh.
Manakala tiga penerima dari Mukim Bangau telah menerima kunci rumah RU’RASA dan Rumah Kurnia YASA di Kampung Bachap, Temerloh.
Melalui inisiatif ini, diharapkan dapat memberikan hikmah di sebalik kesedihan yang dialami oleh keluarga yang terjejas, memberi mereka harapan baru dan peluang untuk memulakan kehidupan baru. – PAHANGMEDIA

