Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang menyumbangkan RM47,400 kepada golongan memerlukan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi, sumbangan ini bagi membantu penerima dalam menjalani ibadah puasa.
“Dalam majlis hari ini, Yayasan Pahang akan menyampaikan sumbangan Ihya’ Ramadan berbentuk wang tunai kepada pelajar Orang Asli Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA), pelajar SMART Tahfiz Universiti UCYP, anak-anak dari komuniti Jalan Wong Ah Jang, Malaysia Chinese Muslim Association Pahang (MACMA), Dapur Infaq Ummah.
“Drug Intervention Community (DIC), Persatuan Insaf Pahang, Persatuan Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Pahang (PERTIS), Persatuan Qiadah PETAMA Pahang, Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser Pahang (PESONA), National Autism Society of Malaysia Kuantan (NASOM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Pahang (PERKIM), dan Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS).
“Saya berdoa agar sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban tuan-tuan dan puan-puan dalam menjalani ibadah pada Ramadan kali ini,” katanya.
Seramai 174 penerima terdiri daripada 63 anak-anak komuniti Jalan Wong Ah Jang dan sekitar Kuantan, 86 pelajar Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA), 25 pelajar SMART Tahfiz, Universiti UCYP menerima RM100 seorang dalam majlis hari ini, manakala setiap NGO menerima sumbangan sebanyak RM3,000.
Sumbangan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah YP, YH. Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin yang merupakan wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur.
Majlis yang merupakan tradisi tahunan Yayasan Pahang dianjurkan dengan tema Semarak Ramadan, Kasih Rabbani yang bertujuan mengimarahkan bulan mulia ini.
Selain itu, ia juga selaras dengan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat Pahang khususnya golongan yang memerlukan terutamanya ketika bulan Ramadan. -PAHANGMEDIA

