Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 15 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa baginda akan berusaha agar Projek Rumah Rakyat Sultan Abdullah (RU’RASA) akan diperbanyakkan pada masa akan datang.
Titah baginda, meskipun rumah RU’RASA sederhana namun diharap dapat memberi keselesaan serta dapat diimarahkan dengan amal ibadah yang baik.
“Saya baru balik dari UAE 3 minggu yang lalu dan telah memberi sedikit sebanyak laporan perkembangan projek berkenaan dan Insyaa Allah kita akan usahakan untuk menambah lagi projek-projek seperti ini Inshaa Allah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan hadir pada Majlis Pemyerahan Kunci Rumah RU’RASA di Kampung Jeram Landak, Mukim Cheka 2 di Lipis.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang, wakil kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), YBhg Aamer Al Teneji dan Ketua-Ketua Jabatan.
Pada majlis itu, seramai 15 penerima Rumah RU’RASA dari Daerah Lipis telah menerima kunci rumah masing-masing yang dikurniakan oleh Baginda Sultan.
Baginda bersama anakanda dan diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis sebelum mengurniakan sumbangan kepada 100 asnaf. – PAHANGMEDIA

