Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 14 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar pemilikan rumah di negeri ini dapat diberikan keutamaan kepada rakyat Pahang termasuklah anak jati di Daerah Lipis.
Baginda bertitah, ini dapat memberi peluang pemilikan rumah kepada anak jati Pahang tanpa ada pilih kasih.
“Saya difahamkan sebanyak 1,600 pelbagai bentuk rumah dan saya telah nyatakan diutamakan anak jati Pahang, anak jati Daerah Lipis ini didahulukan, jangan ada pilih kasih. Saya harap ini dapat diambil peluang untuk orang Lipis untuk mendapat rumah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Binjai dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Binjai di Lipis, hari ini.
Berangkat bersama, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan menunaikan solat berjemaah bersama rakyat dan berkesempatan mengurniakan sumbangan kepada 150 penerima dari Mukim Penjom.
Dalam bertitah, selain kemudahan perumahan, terdapat cadangan membina masjid baharu selain mewujudkan Bamdar Baharu Lipis di kawasan Padang Tengku.
“Saya harap ini dapat diusahakan dan sekurang-kurangnya nampak ada sedikit, banyak pembangunan dinikmati oleh rakyat di Lipis ini.
“Dalam pada itu, yang juga menarik perhatian saya ialah usaha untuk membuat projek ternakan lembu wagyu,” titah baginda.
Baginda berharap penduduk di Lipis dapat menjalankan usahasama dengan pelabur untuk mengusahakan penternakan lembu wagyu. – PAHANGMEDIA

