Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 13 MAC 2024 : Kerajaan Pahang menafikan berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di Daerah Lipis sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, YB Lee Chuan How, di Parlimen, semalam.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan tersebut adalah kurang tepat di mana tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan tersebut.
Jelasnya, hasil maklumat dan intipan yang dilakukan oleh Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac 2023 telah mengesan dan menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemui.
“Susulan penemuan ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu pada 23 Mac 2023 (Khamis) dan hasil siasatan mendapati bahawa penemuan alatan dan barang-barang makmal yang digunakan menunjukkan kawasan tersebut adalah untuk melombong nadir bumi.
“Bagaimanapun, tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan tersebut telah dirampas pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di laman rasmi Facebook miliknya, hari ini.
Malah, katanya, lanjutan daripada kes tersebut, UPNP bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Perhutanan Zon Pahang Barat telah melakukan pemantauan berkala bermula 3 Mei 2023 hingga 15 Februari 2024 di kawasan Pahang Barat dan mendapati tiada sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi berlaku.
“Oleh yang demikian, saya berharap fakta ini dapat diperbetulkan kerana kenyataan yang dinyatakan semalam telah menjejaskan nama baik Negeri Pahang, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Pahang yang sejak 5 tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram termasuk aktiviti perlombongan daripada berleluasa,” katanya.
Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada aktiviti penerokaan tanah secara haram berlaku di Pahang pada masa akan datang.
Sebanyak 137 kes pencerobohan tanah Kerajaan Negeri telah berjaya diselesaikan dengan 129 kes telah dikenakan kompaun dan 8 kes lagi telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman sejak penubuhan UPNP pada 9 Oktober 2019 – PAHANGMEDIA

