Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
MARAN, 11 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan sebanyak 18 buah kawasan dalam wilayah Felda di negeri ini sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) bagi generasi baharu Felda.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia melibatkan 10 kawasan di Wilayah Mempaga, empat kawasan di Wilayah Jengka dan empat kawasan lagi di Wilayah Kuantan.
“Ini adalah seperti yang dijanjikan, saya harap ia sedikit sebanyak akan membantu generasi kedua dan generasi ketiga Felda dalam usaha memiliki rumah sendiri.
“Hari ini MyAngkasa ada bersama yang mana ini peluang kepada mereka yang berkerja tapi tiada slip gaji membuat pinjaman untuk memiliki rumah skim pinjaman yang terbahagi kepada beberapa antara RM80,000 sehingga RM200,000.

“Ini memberi peluang kepada golongan muda untuk membuat rumah mengikut kemampuan masing-masing. Mengenai pinjaman pula adalah terpulang kepada pihak bank selain bergantung kepada nilai rumah dan kesanggupan dan kemampuan mereka untuk membayar kembali pinjaman” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pecah tanah Skim Tanah Rakyat (STR) Felda Pahang di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 14, hari ini.
Hadir sama Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Turut sama Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Dato’ Mohd Banuri Aris, Penyelaras DUN Jengka, YB. Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said, Penyelaras DUN Chenor, Dato’ Sri Shahaniza Shamsudin.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, skim yang disediakan adalah istimewa kerana mereka yang tidak bekerja tetap atau tidak miliki slip gaji turut boleh membuat pinjaman.
“Selalunya jika hendak buat rumah perlu ada slip gaji atau kerja tetap, tapi yang ini tidak perlu.. hanya memerlukan sokongan orang yang berpengaruh di tempat masing-masing seperti ketua kampung atau penghulu yang dapat mengesahkan mereka bekerja,” katanya.
Sementara itu menyentuh berkenaan pemberian Suratan Hak Milik Felda, beliau berkata Kerajaan Negeri akan selesaikannya secepat mungkin secepat mungkin.
“Kita telah agih 96 peratus dan sekarang pihak Felda sedang menguruskan beberapa hal termasuk masalah teknikal yang dialami bagi menyelesaikan baki empat peratus sahaja lagi penerima geran.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mempercepatkan proses bagi memastikan kesemua 43,126 orang peneroka Felda di negeri ini memperoleh geran tanah masing-masing,” katanya. -PAHANGMEDIA

