Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 10 MAC 2024 : MCA dan MIC Pahang tegas menafikan label ‘gangster’ yang ditujukan kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail oleh bekas ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dalam satu kenyataan tular di media sosial baru-baru ini.
Setiausaha MCA, Dato’ Chong Sin Woon berkata, Dato’ Sri Wan Rosdy hanya melaksanakan tanggungjawabnya selaku pemimpin Kerajaan Negeri dalam membanteras pencerobohan tanah termasuk di Cameron Highlands.

Beliau berkata, ketegasan Naib Presiden UMNO itu walaupun tidak populis tetapi memberi kebaikan kepada lebih banyak khalayak berbanding seorang dua orang yang mempunyai kepentingan peribadi.
“Rekod beliau memimpin Negeri Pahang sangat cemerlang dan terbukti dengan peningkatan hasil negeri dan rakyat semua golongan mendapat pelbagai bantuan.
“Melabelkan beliau sebagai samseng adalah tidak wajar dan jelas berniat buruk untuk menjejaskan reputasi dan integriti beliau sebagai pemimpin negeri dan di peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2024 anjuran MCA Pahang di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub hari ini.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi MIC Pahang, Dato’ K.Tamilselvan menyifatkan tohmahan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat ( PKR) itu tersasar dari fakta sebenar.
“Berbalik kepada hakikat sebenar di mana Menteri Besar Pahang itu banyak berjasa kepada kaum India termasuk memberi kelulusan tanah, kebajikan dan pelbagai keperluan dinikmati sehingga hari ini.
“Sejarah kelam politik Gobalakrisnan pun yang keluar MIC kemudian masuk PKR dan kembali ke pangkuan MIC yang akhirnya dipecat MIC.
“Jadi, tohmahan Gobalakrisnan tidak mewakili masyarakat India di negeri Pahang yang banyak menerima manfaat daripada kepimpinan mesra rakyat Menteri Besar yang kita sanjungi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian MIC Raub berikrar bahawa masyarakat India akan terus memberi sokongan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menerajui negeri Pahang terus ke arah maju dan gemilang. -PAHANGMEDIA

