Oleh: Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Radin Mohd Norhilmi Nordin
PEKAN, 10 MAC 2024 : Projek pembangunan bekalan air Daerah Pekan dijangka akan siap menjelang hujung tahun ini bagi menangani masalah bekalan air yang telah berlarutan di kawasan tersebut.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, YB. Dato’ Hj. Mohammad Fakhruddin Mohd Arif, menyatakan keseriusan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah bekalan air semasa lawatan kerja rasmi ke tapak projek-projek pembangunan bekalan air di Daerah Pekan.
“Kita mengadakan lawatan meninjau tentang projek-projek yang sedang dilaksanakan khususnya di kawasan Pekan.
“Alhamdulillah juga kita dapati bahawa projek-projek ini sedang giat dilaksanakan dan di Pekan sahaja ada 13 projek yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri sebanyak lebih kurang RM 246 juta untuk dilaksanakan di daerah Pekan ini,” kata di sini hari ini.
Dalam usaha menangani keperluan bekalan air, Kerajaan Negeri juga telah memberi peruntukan RM5 juta bagi memastikan penyelesaian projek pembangunan bekalan air di Tanjung Batu dan Nenasi menjelang hujung tahun ini.
Sementara itu, sehingga Februari 2024, dua daripada 13 Senarai Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1 2021 hingga 2026 telah siap dibina manakala lima projek sedang dalam pembinaan termasuk projek bekalan air Kampung Temai dan Nenasi serta enam lagi di peringkat pra-pembinaan.
“Saya akan terus mengikuti perkembangan projek ini serta memberikan sokongan kepada usaha pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di seluruh Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah bekalan air.
“Saya difahamkan juga bahawa kita mensasarkan tahun 2026 untuk menyelesaikan masalah projek-projek bekalan air di seluruh kawasan Pahang secara berperingkat, insyaAllah,” tambah beliau.
Dengan sokongan penuh dari pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri, diharapkan penduduk kawasan Daerah Pekan akan dapat menikmati bekalan air berkualiti yang lancar dan memberikan keselesaan kepada penduduk menjelang akhir tahun ini. -PAHANGMEDIA

