Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 10 MAC 2024 : Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hubungan Barisan Nasional dengan parti komponen sentiasa terjalin baik dan gabungan itu masih kekal relevan dalam membela nasib rakyat.
Menurutnya, naratif mengenai hubungan BN dan MCA adalah masih teguh, logik dan relevan walaupun terdapat fitnah sebaliknya yang bertebaran.
“Orang luar yang mainkan sentimen kata hubungan kita tak relevan, sedangkan mereka yang tidak relevan sebab tak pernah berkhidmat untuk rakyat. Mereka tak ada isu jadi mainkan isu ini sehingga ada yang terpedaya dah terpengaruh.

“Pahang sendiri akan sentiasa memberi kerjasama dengan MCA dan kita harap kerjasama yang telah terjalin ini terus dipertingkatkan pada masa akan datang. Gabungan (BN-MCA) dah memang baik, sekarang kita nak akrabkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina MCA Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Raub di sini.
Hadir sama Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Presiden MCA, YB Dato’ Seri Ir Dr Wee Ka Siong serta Pengerusi MCA Pahang, Datuk Chong Sin Woon.
Sementara itu beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, sentimen, persepsi dan fitnah banyak mengaburi setiap usaha yang dilakukan bagi keselesaan dan kebajikan rakyat.
“Kita buat kerja untuk rakyat dan terus relevan untuk rakyat, dari dahulu lagi sejak memperjuangkan kemerdekaan.
“Saya menyeru kepada rakyat supaya melihat prestasi sebagai contoh apa yang dilakukan Presiden MCA sendiri termasuk ketika memegang jawatan menteri. Beliau ubah laluan (ECRL) kembali pada asal selain wujudkan dua buah universiti dengan kos pengajian yang mampu dibayar rakyat.
“Ini usaha yang patut diberi perhatian tapi orang sibuk main sentimen, persepsi dan tabur fitnah sedangkan semua okay, tak ada masalah,” katanya. -PAHANGMEDIA

