Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Nurhilmi Nordin
KUANTAN, 8 MAC 2024 : Pelancaran Bulan Zakat Dan Wakaf di Negeri Pahang yang ditetapkan pada bulan Syaaban berjaya melonjakkan hasil kutipan zakat dan wakaf di negeri ini menerusi penganjuran pelbagai program dan aktiviti di kalangan masyarakat.
Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YH. Dato’ Haji Halidan Md Daud berkata, keberhasilan ini berjaya dicapai apabila sebanyak 173 program dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya umat Islam.
“Jadi kita mengambil sepenuhnya kesempatan di dalam bulan zakat dan wakaf ini menjelaskan kepada masyarakat umum di mana kalau kita lihat di sepanjang bulan tersebut kita telah mengadakan taklimat, kuliah, forum dan khutbah hampir 125 aktiviti di seluruh Negeri Pahang mengikut daerah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penutupan Bulan Zakat Dan Wakaf Pahang di Bilik Mesyuarat MUIP di sini hari ini.
Penutup Bulan Zakat Dan Wakaf akan berlangsung pada esok dengan penganjuran pelbagai program seawal pagi dengan Subuh Fighter di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Selepas itu, orang ramai berpeluang menyertai senaman pagi sebelum berlangsungnya Berkat Run & Walk 2024 bagi tiga kategori iaitu larian 10km dan 5km manakala kategori berjalan sejauh 3km.
Peserta Berkat Run & Walk 2024 juga berpeluang merebut hadiah cabutan bertuah berjumlah RM20,000 berupa sebuah motosikal, 11 gold bar dan barangan elektrik.
Turut diadakan ialah Forum Khas Penutup Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dengan menampilkan panel jemputan popular iaitu Timbalan Mufti Negeri Pahang, Sahibus Saadah YH. Dato’ Badli Shah Alauddin bersama YBhg Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Justeru, YH. Dato’ Haji Halidan menyeru orang ramai untuk tidak melepaskan peluang mengeluarkan zakat bersempena bulan mulia ini.
“Kita menyeru kepada masyarakat seluruh Negeri Pahang untuk sama-sama kita menyambut seruan zakat dan wakaf yang kita war-warkan sepanjang sebulan ini kerana apa yang kita lihat pada tahun lepas.
“Misalnya, dengan meningkat kutipan zakat, kita telah dapat menyebar luas manfaatnya kepada lebih ramai orang yang menerimanya,” katanya.
Sehingga 29 Februari 2024, sebanyak RM20.9 juta kutipan zakat berjaya dikumpul daripada 64,670 orang.
Manakala kutipan wakaf pula adalah sebanyak RM817,567 daripada 3,623 pembayar zakat. – PAHANGMEDIA