Oleh: Fansurina Abdullah & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MAC 2024 : Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-67, Cik Nurul Saadah Mohammad Zaini, 26, dari Jengka bersedia untuk mewakili Pahang ke Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada Mei depan.
Menurut Nurul Saadah, dia melakukan banyak persediaan untuk menghadapi peringkat kebangsaan dengan meningkatkan latihan dan mendapatkan tunjuk ajar dari para asatizah di Pahang.
“Saya juga akan cuba cari juga inisiatif sendiri untuk tambah baik bacaan saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama beliau bergelar johan selepas empat kali menyertai Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang.
“Pertamanya saya bersyukur kepada Allah. Saya harap dengan kejayaan untuk malam ini menjadi semangat saya untuk teruskan belajar dalam bidang ini insyaAllah.
“Penyokong saya ialah mak saya dan arwah ayah saya, mereka yang banyak bagi semangat sebab mereka menyokong minat saya dalam bidang ini,” katanya.
Pada tilawah kali ini, Naib Johan Qariah disandang oleh Suhaili Mohd dari Jerantut manakala tempat ketiga diraih oleh Norhalijah Taib dari Rompin.
Bagi kategori Qari, Johan diberikan kepada Encik Mohamad Syaheed Sabri diikuti Jalaluddin Hashim dan Huzaifah Abdul Sukir masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Majlis perasmian penutupan Tilawah Al-Quran peringkat negeri Pahang kali ke-67 ini telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi baginda ialah KDYMM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan. – PAHANGMEDIA

