Oleh : Fairus Mohd
CAMERON HIGHLANDS, 6 MAC 2024 : Orang Asli Sungai Ruil yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh pada 12 Oktober tahun lalu menghargai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah agar rumah mereka segera dibaiki.
Puan Surina Bah Alek, 43, berkata, dia dan semua keluarga terlibat sudah berpindah di penempatan sementara di Kuaters TNB yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

“Kami dah pindah ke sini lebih sebulan, semuanya baik tak ada masalah. Rasa gembira sebab tuanku datang bagi sumbangan dan sudi cemar duli untuk tengok sendiri keadaan kami di sini.
Bagi Puan Khadijah Abdullah, 56, keberangkatan tuanku ke penempatan mereka sangat dihargai malah menunjukkan keprihatinan tuanku terhadap kejadian menimpa mereka
“Terima kasih tuanku kerana sudi mengurniakan sumbangan buat kami. Setakat ini kehidupan seharian di penempatan ini baik-baik sahaja.
“Memang kami juga berharap agar rumah kami siap dibaiki dengan segera agar kami semua boleh kembali berpindah balik ke rumah masing-masing,” katanya.

Seorang lagi penduduk terlibat, Puan Rezenani Ngah Duan, 41, berkata pengalaman menghadapi kejadian tersebut tidak akan dilupakan malah berharap ia tidak kembali berulang.
“Ketika kejadia saya dan anak ada di rumah, memang cemas dengar jiran-jiran menjerit..tak sangka juga rumah saya terlibat sama di bahagian dapur malah rumah saya lah yang paling teruk terjejas.
“Terima kasih tuanku kerana ambil berat tentang kami. Kami baik-baik sahaja di sini dan sudah pastilah mahu pulang ke rumah apabila ia sudah siap dibaiki nanti,” katanya.
KDYMM Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda ketika bercemar duli melawat dan menyampaikan kurniaan sumbangan meminta agar kerja-kerja baik pulih melibatkan 16 buah rumah di penempatan Orang Asli Sungai Ruil yang terjejas akibat tanah runtuh disegerakan. -PAHANGMEDIA

