Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 6 MAC 2024 : Penduduk Lipis menyambut meriah ketibaan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setibanya baginda di hentian pertama di daerah ini selepas empat hari Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang berlangsung.
Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim berkata, persiapan rapi yang telah dibuat oleh penduduk menggambarkan keterujaan rakyat untuk menyambut baginda Tuanku ke Bandar Warisan Bersejarah itu.
“Sambutan daripada masyarakat kampung di Kampung Ganding dan sekitar di Mukim Cheka ini menggalakkan, mereka telah buat persiapan awal, gotong-royong dan mereka bersemangatlah untuk menanti keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota Pahang.
“Rakyat begitu teruja apabila mereka mengadakan gotong-royong, mesyuarat dan perbincangan di peringkat kampung begitu juga perkongsian di media sosial juga mereka turut menguar-uarkan tentang sambutan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Ganding, Hulu Lek di sini.

Di hentian tersebut, baginda disambut dengan persembahan silat dan paluan Gendang Ketawak sebelum dipersembahkan dengan demo masakan makanan tradisional Nasi Kebuli oleh penduduk Kampung Batu Sembilan.
Baginda turut berkenan menyampaikan kurnia kepada 50 asnaf bagi daerah Lipis dan melepaskan anak-anak ikan ke Sungai Jelai.
Baginda bersama rombongan sebelum itu singgah di Pasir Tambang, Kuala Tembeling di Jerantut dan akan berhenti di hentian Jeti Kuala Lipis untuk santapan tengahari.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Daerah Lipis merupakan daerah terakhir bagi Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang sejauh 400km bermula di Daerah Pekan seterusnya ekspedisi singgah di Maran, Bera, Temerloh dan Jerantut.
Selama empat hari ekspedisi, baginda dipersembahkan dengan pelbagai persembaham tradisional Pahang, makanan tradisi Pahang di samping sambutan meriah oleh rakyat jelata. – PAHANGMEDIA

