Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 27 FEBRUARI 2024 : Program Ziarah Kasih oleh Pejabat Dewan Negeri Pahang bukan sekadar kunjung ziarah malah turut sama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina bersama tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang.
Yang Dipertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, berkongsi kemeriahan sambutan Tahun Baru cina bersama rakan-rakan seperjuangan pastinya dapat menambah keseronokan perayaan berkenaan pada kali ini.
Jelasnya, ia juga sebagai tanda prihatin dan ambil berat pihak kerajaan kepada bekas ADUN yang pernah menabur bakti dan budi sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Kita akan teruskan lawatan kita ini dan pada minggu depan atau bulan depan kita akan mulakan untuk ziarah, kali ini kita meraikan Tahun Baru Cina, kemudian kita akan meraikan Hari Raya Aidilfitri, jadi kita akan pergilah kepada (bekas) wakil-wakil rakyat kita terutama sekali Melayu yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarah tiga bekas ADUN iaitu dua bekas ADUN Tanah Rata di Cameron Highlands dan seorang bekas ADUN Tras di Raub.
Dua bekas ADUN Tanah Rata ialah YH. Dato’ Ho Yip Kap dan YH. Dato’ Choong Ching Yan manakala bekas ADUN Tras pula ialah YH. Dato’ Chan Choon Fah.
Hadir sama ialah Timbalan YDP Dewan Negeri, YB. Tuan Lee Chin Chen, ADUN Batu Talam, YB. Dato’ Abd. Aziz Mat Kiram, ADUN Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan ADUN Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang.
Menurut YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar, terdapat seramai 65 orang bekas ADUN yang tersenarai untuk program Ziarah Kasih sebagai tanda prihatin dan cakna Kerajaan Pahang terhadap kebajikan dan keperluan semua bekas ADUN yang pernah mencurah bakti di Negeri Pahang.
“Kita harap supaya apa-apa sahaja perkara yang mereka perlukan daripada Pejabat ADUN, kita dapat juga memperkenalkan pegawai-pegawai kita sebab pegawai-pegawai kita silih berganti, jadi ini untuk mengeratkan silaturrahim apatah lagi saya bersama timbalan (YDP Dewan) sebab dahulu kita lain ‘perahu’, sekarang ini sudah sama perahu, jadi kita hendak mengharmonikan lagi hubungan baik ini,” katanya.
Beliau turut mempastikan agar keharmonian dan kesepaduan kerajaan di bawah Kerajaan Perpaduan dapat membuahkan kesepakatan dan persefahaman di dalam segala aspek pentadbiran dan kebajikan khususnya bekas pemimpin terdahulu. – PAHANGMEDIA

