Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 27 FEBRUARI 2024 : Pengunjung bertuah bakal membawa pulang sebuah motosikal berkuasa tinggi, Ducati Panigale V4S yang ditawarkan sebagai hadiah utama cabutan bertuah pada acara RXZ Fighter@Kuantan yang berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Mac ini di Dataran Serambi Teruntum.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, dua buah Yamaha RXZ Fully Air Brush turut menanti pengunjung pada cabutan bertuah di acara sama.
“Kita jangkakan seramai 50,000 pengunjung di kalangan peminat RXZ dan motosikal lain akan memeriahkan acara yang julung kali diadakan di Kuantan. Setakat ini sebanyak 10,000 helai t-shirt untuk acara berkenaan telah habis dijual dan daripada situ kita nampak sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
“Selain menyokong minat anak muda dalam permotoran, acara ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada penjanaan ekonomi di Kuantan dan sekitarnya. Hotel, rumah inap dan kebanyakan tempat penginapan telah penuh ditempah terutamanya oleh pengunjung dari luar.
“Jadi saya mempelawa pengunjung yang hadir untuk berkhemah di pantai-pantai cantik yang ada berhampiran tempat acara seperti Pantai Anak Air, Pantai Kempadang serta Teluk Chempedak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berkenaan acara berkenaan di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Majlis Sukan Pahang, YBrs Encik Zamri Hassan serta pegawainya, Encik Syamsudin Sukemi.
Dalam pada itu, beliau berkata peqnganjuran program seumpama itu bukan sahaja dapat menghimpunkan ribuan peminat permotoran negara tetapi juga menyediakan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti solat Subuh Seperti Jumaat di dua buah masjid iaitu di Masjid Negeri dan Masjid Kampung Padang selain slot ceramah agama, ceramah, persembahan buskers, pameran barang permotoran, taklimat keselamatan daripada pihak berkuasa selain jualan di gerai-gerai yang disediakan.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan peminat bidang permotoran khususnya RXZ ke Kuantan pada 1 dan 2 Mac ini, namun suka saya ingatkan agar berhati-hati di jalan raya, tunggang motor dengan selamat, fikirkan pengguna jalan yang lain dan patuhilah peraturan lalu lintas,” katanya. -PAHANGMEDIA

