Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 27 FEBRUARI 2024 : Keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam menyediakan keperluan rakyat termasuk rumah percuma melalui program Rumah Rakyat Pahang disambut penuh terharu oleh penerima terlibat.
Bagi Puan Puan Norshaniah Sabarudin, 41, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan terharu dan gembira apabila menerima bantuan Rumah Rakyat Pahang selepas rumah lamanya musnah akibat dilanda banjir.
“Saya bersama suami dan tiga orang anak berusia lapan, enam dan dua tahun tinggal di pondok kecil yang dibina oleh sukarelawan selepas banjir memusnahkan rumah kami pada tahun 2021.
“Ketika itu (bekas) ADUN Pulau Manis, Dato’ Khairuddin Mahmud bersama Ketua Kampung dan ketua cawangan datang melawat keadaan saya sekeluarga dan berjanji mengusahakan bantuan rumah untuk saya seperti yang diperoleh hari ini.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yg membantu, tak pernah termimpi nak dapat rumah sendiri selepas bencana banjir. Saya dan keluarga berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, wakil rakyat serta kepimpinan setempat di atas pemberian rumah ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Padang Jaya , semalam.

Kunci rumah berkenaan diserahkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff di sini.
Hadir sama Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan (Pembangunan), Puan Nursafariza Ihsan, Penghulu Mukim Kuantan II, Encik Khalid Abu Hanifah, Ketua Kampung Jaya Gading, Encik Azmi Mohamad, Ketua Kampung Sri Damai, Encik Mohamad Amerudin Mat Esa serta kepimpinan setempat.
Seorang lagi penerima bantuan Rumah Rakyat Pahang di Kampung Sri Damai, Puan Mani Sedik, 76, mewakili arwah suaminya, Allahyarham Roslan Abu Bakar turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa peka dengan keadaan rakyat.
“Suami saya sempat tinggal di rumah baru ini selama 26 hari sebelum meninggal dunia pada 4 Julai tahun lepas. Alhamdulillah dapat arwah rasa duduk rumah ini selepas rumah lama yang kami tinggal mengalami kerosakan termasuk bumbung bocor.
“Sebelum dapat bantuan rumah ini, kami dapat juga bantuan membaiki bumbung rosak. Wakil rakyat dan pemimpin setempat memang peka dengan keadaan rakyat seperti kami. Terima kasih MB Pahang, YB, Ketua Kampung serta semua yang terlibat. Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT di atas bantuan yang diterima ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

