Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 FEBRUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli merasmikan majlis penutup Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Tertutup Pahang 2024 hari ini.
Baginda turut berkenan menyaksikan perlawanan akhir antara pasukan Kuantan Palmyras RC dan pasukan Jerantut Bandar Orang Kacak (JBOK) RC yang berlangsung di padang Ragbi Sekolah Sukan Pahang Malaysia, Gambang di sini serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Pasukan Jerantut Bandar Orang Kacak (JBOK) RC muncul juara selepas berjaya mengenepikan 23 buah pasukan lain yang bertanding pada kejohanan yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

Turut hadir mengiringi Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Pahang, YM Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah serta Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Sementara itu YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang ditemui berkata kejohanan yang cukup meriah dan pujian seharusnya diberikan kepada Kesatuan Ragbi Negeri Pahang dibatas penganjuran kejohanan edisi kedua ini.
“Ragbi Pahang ini antara persatuan yang kerap menganjurkan kejohanan dan mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan Negeri, penganjuran acara sebegini sememangnya memerlukan perbelanjaan yang besar dan saya harap persatuan-persatuan sukan yang lain mencontohi gerak kerja yang dilakukan kesatuan ragbi ini.
“Kejohanan sebegini juga merupakan satu platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu, saya lihat kelab-kelab sukan Ragbi di daerah-daerah semakin aktif termasuk di Raub.
“Kejohanan sebegini penting untuk sediakan atlet kita. Ada persatuan sukan yang langsung tak buat kejohanan, lepas ni peruntukan kerajaan Negeri kita salur mengikut penilaian prestasi. Jika tidak aktif, kesannya kita tak dapat sediakan atlet-atlet untuk menghadapi kejohanan besar contohnya seperti Sukma,” katanya.
Dalam pada itu Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Pahang, YM Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah turut menzahirkan rasa gembira di atas sambutan menggalakkan daripada pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan kali ini.
“Kita akan jadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan yang mampu mencungkil bakat-bakat berharga sukan Ragbi. Ini adalah usaha untuk memperkenalkan lagi sukan Ragbi kepada umum dan meningkatkan minat anak muda dalam sukan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

