Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 15 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Pahang menubuhkan Akademi Golf Pahang Barat di Raub dengan menjadikan Padang Golf Raub sebagai lapangan kepada remaja khususnya pelajar-pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah untuk menceburkan diri di dalam sukan golf.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha ini selaras hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai atlet profesional bagi sukan golf di Pahang sekaligus dapat mengharumkan nama negeri ini menerusi sukan tersebut.
“Sebelum ini hanya ada satu Akademi Golf di bawah Majlis Sukan Pahang (MSP) dan saya sudah pergi bertemu dengan pemain-pemain dan peserta pada tahun lalu iaitu di Kuantan dan kini Akademi Golf yang kedua (di Raub) dan kita harap dapat membangunkan pemain-pemain golf profesional di lapangan ini.

“Kebetulan Kelab Golf Raub sekarang tengah berusaha gigih menyiapkan dan membuka semula padang golf ini, buat permulaan sembilan lubang dahulu dan insyaaAllah pada pertengahan tahun hadapan akan buka lagi sembilan lubang, menjadikan 18 lubang tahun depan,” katanya selepas meninjau ke tapak pembangunan Padang Golf Raub dan Pelancaran Program Golf Remaja Daerah Raub di Kelab Golf Raub, di sini, petang tadi.
Padang golf yang akan dikenali sebagai Agro Golf Dalam Kebun ini akan mula dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang selesa dengan dikelilingi kebun buah-buahan seperti Durian Musang King, Durian Duri Hitam, mangga dan manggis.
YB. Tuan Fadzli berkata, Akademi Golf Pahang Barat di Raub ini adalah terbuka kepada remaja dan orang ramai dari negeri-negeri Pahang Barat termasuklah Bentong, Lipis dan Cameron Highlands.
Akademi ini turut menerima tajaan daripada Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd menerusi Pengarah Urusannya, YH. Dato’ Shamsul Kamar Samsuddin bagi program junior di Raub.
Justeru, Kerajaan Pahang turut mengalu-alukan pelbagai pihak yang ingin bekerjasama dan menaja Akademi Golf Pahang Barat bagi melahirkan pemain golf profesional.
Kerajaan Pahang menerusi MSP menyasarkan untuk melahirkan atlet golf profesional dari Pahang dalam tempoh dua tahun pada SUKMA 2026 nanti. – PAHANGMEDIA

