Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 FEBRUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bertitah supaya golongan wanita dapat menjaga kesihatan diri mereka.
Baginda bertitah, golongan wanita perlu menjaga pemakanan bagi memastikan mereka dapat menjalankan tanggungjawab menjaga keluarga dengan baik.
“Dan untuk kesihatan juga, kepada semua, apabila kena kencing manis, kena darah tinggi, kita kenalah jaga. Saya nak rakyat di Negeri Pahang ini semua sihat, kurangkan gula. Makan tak apa, tapi makan sayur dan makan buah.
“Tapi kesihatan itu adalah paling penting kerana kalau kita tak sihat, macam mana kita nak menjaga rumahtangga kita,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Sempena Memuliakan Keberangkatan Balik Tengku Ampuan Pahang ke Negeri Pahang Setelah Selamat Menyempurnakan Tanggungjawab Sebagai Raja Permaisuri Agong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, isteri YAB. Menteri Besar Pahang, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed yang juga Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Pahang.
KDYMM Tengku Ampuan Pahang dalam titah baginda turut menekankan mengenai pemerkasaan wanita yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan komuniti dan kepentingan pelajaran bagi membasmi kemiskinan.
“Saya percaya dengan suara wanita, kita perkasakan dan suara wanita yang paling penting kerana kalau kita balik rumah, bercakap, baru benda berjalan. Kita juga memainkan satu peranan bagi mententeramkan rumahtangga.
“Perjuangan kita adalah untuk memperkasakan wanita dan anak-anak dengan menentukan mereka ini menerima pelajaran untuk masa hadapan mereka kerana tanpa pelajaran, kita tidak boleh membasmi kemiskinan. Dan satu-satunya cara membasmi kemiskinan adalah melalui pelajaran,” titah baginda.
Baginda juga turut menzahirkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang sentiasa menjadi penyokong dan pendorong kepada baginda.
“Selama 33 tahun sebagai Tengku Puan (Pahang), yang mendorong saya, yang beri semangat, yang selalu menggalakkan saya, bagi sokongan dan selalu suruh saya buat kerja ialah Kebawah Duli Tuanku Sultan sendiri. Saya rasa setiap isteri, suami kitalah yang menjadi penyokong kuat kita,” titah baginda.
Sementara itu, baginda juga turut berkongsi hasrat untuk membina sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Tengku Ampuan bagi memperkasakan golongan wanita dan anak-anak di negeri ini selain akan berkunjung ke setiap daerah di negeri ini tidak lama lagi.
Baginda juga melahirkan hasrat untuk membukukan buku masakan Air Tangan Tengku Ampuan Pahang yang menghimpunkan resipi peribadi baginda yang telah dikumpul sejak sekian lama dan merupakan kegemaran KDYMM Al-Sultan Abdullah serta anakanda-anakanda baginda. -PAHANGMEDIA

