Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 FEBRUARI 2024 : Pelbagai golongan yang memerlukan di negeri ini menerima sumbangan daripada pihak Kerajaan Negeri tanpa ada sebarang diskriminasi mahupun pilih kasih.
Penyelaras Dewan Negeri (DN) Kuala Semantan, Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli berkata, sumbangan melalui YAB Menteri Besar Pahang itu merupakan suatu amanah yang ditunaikan kepada rakyat.
“Bantuan melalui sumbangan ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang sentiasa ambil berat terhadap keperluan rakyat termasuk bantuan pendidikan, bantuan perubatan dan sebagainya.

“Semua ini juga tidak dapat direalisasikan jika Kerajaan Negeri tidak efisyen, malah hasil negeri yang baik, tindakan-tindakan yang cemerlang menyebabkan ia (hasil) dikembalilkan dalam bentuk sumbangan kepada rakyat,” katanya.
Bagi penerima sumbangan komputer riba, Cik Nur Mawaddah Mohammad Firthause, 19, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan keperluan pelajar sepertinya.
Pelajar jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di UiTM Raub ini berkata ia sedikit sebanyak meringankan beban selepas bapanya baru sahaja berhenti kerja ekoran mengalami masalah kesihatan.
“Saya sangat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana saya memang sangat-sangat memerlukan laptop, sebab laptop yang saya pakai sekarang ni pinjam dengan saudara.
“Terima kasih banyak-banyak, saya akan gunakan kemudahan yang disumbangkan ini dengan sebaik mungkin” katanya.
Bagi Puan Leo Teck Heong, sumbangan pendidikan yang diberikan kepada anaknya, Leong Jin Xian amat dihargai.
“Anak saya kini menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam jurusan Sarjana Muda Doktor Perubatan.
“Saya sangat berterima kasih kepada MB Pahang kerana bantu anak saya dengan sumbangan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

