Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 14 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Negeri menyusun semula tiga portfolio Exco Kerajaan Pahang bagi memperkemas dan memantapkan pentadbiran di negeri ini terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyusunan semula ini juga selaras dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, YB. Dato’ Amizar Abu Adam sebagai Ahli EXCO, Kerajaan Negeri Pahang.
“Menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada hari ini 14 Februari 2024 telah menyusun semula portfolio melibatkan tiga EXCO Kerajaan Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Penyusunan semula portfolio Kerajaan Pahang adalah YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memegang Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.
Manakala YB Tuan Ir Razali Kassim pula menggalas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang.
Sementara itu, Ahli Exco baharu iaitu YB. Dato’ Amizar Abu Adam pula memegang Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, penyusunan portfolio ini adalah berkuatkuasa serta-merta.
“Di kesempatan ini saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Exco-Exco yang terlibat.
“Saya berharap dengan penyusunan semula portfolio Exco Kerajaan Negeri Pahang, pentadbiran Kerajaan Negeri akan lebih kemas dan mantap terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

