Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2024 : Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM14.5 juta bagi membiayai kemudahan fasiliti sukan di Negeri Pahang dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12).
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB. Puan Hannah Yeoh berkata, salah satu projek infrasruktur yang terlibat adalah Kerja-kerja Naiktaraf dan Baikpulih Trek Sintetik Stadium Darul Makmur yang menjadi pusat tumpuan utama di Negeri Pahang bagi penganjuran sukan terutama dalam acara olahraga.
“Projek yang menelan belanja RM5 juta ini telah diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang dan dibantu oleh agensi yang berkaitan di mana ianya telah sempurna disiapkan pada 29 Disember 2023.

“Antara skop kerja yang dilaksanakan dalam projek ini adalah menggantikan trek sintetik yang lama kepada trek sintetik yang baru jenis Full PU Kelas 2, Kategori 5 yang lebih berkualiti mengikut piawaian antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur hari ini.
Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah Zakaria; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, YBhg. Encik Mohd Azhari Mohammad; dan Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, YBhg. Encik Izad Zainal Muhammad Saffian.
Tambah beliau, selain daripada kerja utama iaitu penggantian trek sintetik, terdapat kerja-kerja naiktaraf lain seperti penukaran bangku di tempat duduk utama stadium dan jaring di kawasan bumbung stadium turut dilakukan.
Menurut beliau lagi, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sentiasa mengambil berat mengenai infrastruktur fasiliti sukan yang berada di setiap negeri dengan menyalurkan peruntukan kecil bagi kerja pembaikan dan keperluan yang berkaitan.
Sementara itu katanya, Perbadanan Stadium Negeri disarankan untuk mencari dana bagi menyelenggara fasiliti stadium dan tidak bergantung kepada pihak Kerajaan semata-mata.
“Kita juga ada Perbadanan Stadium Malaysia yang kita ada di Bukit Jalil dan seperti agensi dan GLC, semua masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mencari dana untuk bantu kerajaan dan bukan bergantung kepada Kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau dalam kes ini Kerajaan Negeri untuk berikan dana.
“Itu sebab kita telah galakkan terutamanya fasiliti sukan dia kena accessible untuk golongan B40 juga. Kalau kita nak tunggu pihak swasta atau pihak sekolah untuk mampu membayar sewa itu, kita akan tunggu lama. Jadi kita buat keputusan, di Bukit Jalil, kita buka trek larian untuk hari sukan di sekolah-sekolah untuk datang secara percuma,” katanya. – PAHANGMEDIA

