KUANTAN, 13 FEBRUARI 2024 : Penyanyi cilik Iman Darwasy bakal menghiburkan orang Pahang sempena Moh Karnival Makmur yang diadakan pada 16, 17 dan 18 Februari ini di Dataran Indera Pahlawan Chenor, Maran.
Baginya ini merupakan satu undangan istimewa memandangkan ini kali pertama dia diundang ke Maran bagi menghiburkan masyarakat di sana dalam Malam Kebudayaan yang diadakan pada 16 Februari ini.
Bakal berada satu pentas dengan penyanyi legenda nasyid In-Team, pastinya Iman akan sama menghayati erti kasih sayang dan ihsan sesama manusia melalui lagu-lagu yang bakal dipersembahan nanti.

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam karnival seperti ini dan pastinya saya teruja untuk melihat sendiri persembahan lain seperti nyanyian lagu rakyat, alunan qasidah dan zapin Arab.
“Pihak penganjur pun dah sediakan banyak aktiviti menarik sepanjang tiga hari acara berlangsung. Saya harap, orang Pahang dan kawasan sekitar tak melepaskan peluang untuk datang,” tambahnya lagi.
Bercerita mengenai Moh Karnival Makmur pula, pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh pihak penganjur untuk semua ahli masyarakat yang hadir. Menariknya pelbagai hadiah juga disediakan oleh penganjur untuk mereka yang bertuah.
Puluhan reruai jualan juga dibuka bukan sekadar jualan makanan dan minuman tetapi juga jualan produk tempatan yang sinonim dengan masyarakat Pahang seperti hasil kraftangan dan sebagainya.
Moh Karnival Makmur akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung pada 17 Februari, bermula jam 10.30 pagi di lokasi yang sama.
Pelbagai agensi kerajaan juga turut membuka kaunter bagi memberikan maklumat terkini tentang perkhidmatan yang disediakan oleh mereka dalam membantu melicinkan proses berkaitan.
Lebih menarik, kerajaan Pahang juga membuka pendaftaran Bantuan Prihatin Pahang untuk bayi yang baru lahir, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan segenap ahli masyarakat bagi menyalurkan bantuan. – PAHANGMEDIA

