Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 FEBRUARI 2024 : Orang ramai yang ingin hadir Karnival Rakyat Pahang boleh menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan penutupan dan lencongan beberapa laluan utama secara penuh dan berperingkat pada karnival yang akan diadakan di Dataran Sayangi Kuantan dan Padang Kemunting.
Ketua Polis Pahang, YH. CP Dato’ Seri Yahaya Othman berkata, jalan ditutup dengan penutupan penuh ialah di Jalan Tanah Putih berhadapan bangunan Telekom yang di tutup di kedua-dua hala pada 30 Januari sehingga 4 Februari. Orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Dato Wong Ah Jang, Jalan Kemunting, Jalan Pintasan Kuantan, dan Jalan Tanjung Lumpur ke Jambatan Putra.
“Jalan ditutup secara berkala ialah di Jalan Tanah Putih hala ke bandar Kuantan bermula lampu isyarat LHDN ke persimpangan Jalan Mat Kilau, dan Jalan Tanah Putih hala ke Gambang bermula lampu isyarat Esplanade ke Jalan
Kemunting. Ia ditutup pada 2 Februari sehingga 4 Februari 2024. Dan laluan alternatif adalah di Jalan Dato Wong Ah Jang, Jalan Pintasan Kuantan, Jalan Tanjung Lumpur ke Jambatan Putra.
“Penutupan jalan bagi acara perarakan kereta berhias secara berkala melibatkan Jalan Tanjung Lumpur dari Serambi Teruntum ke Lampu Isyarat Teluk Sisek, Jalan Teluk Sisek ke Jalan Besar, dan Jalan Tanah Putih hingga ke lampu isyarat LHDN pada 3 Februari 2024 Sabtu bermula 7 malam sehingga 10 malam. Dan loncongan akan dilakukan melibatkan kenderaan dari Teluk Cempedak dilencongkan ke Jalan Gambut, kenderaan dari Jalan Beserah dilencongkan ke Jalan Gambut, kenderaan dari arah Gambang dilencongkan ke Jalan Dato Wong AH Jang. Laluan alternatif adalah melalui Jalan Dato Wong Ah Jang, Jalan Pintasan Kuantan, dan Jalan Tanjung Lumpur ke Jambatan Putra,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin, dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.
Beliau berkata orang ramai boleh memarkir kenderaan di enam lokasi yang disarankan pihak berkuasa bagi mengelakkan berlakunya masalah pada hari karnival dijalankan.
“Cadangan tempat letak kereta sempena Karnival Rakyat Pahang adalah di parkir aman Medan Warisan, kawasan lapang sebelah pasaraya Giant, parkir awam Taman Esplane, parkir awam sepanjang jalan Mahkota, parkir awam Kompleks Teruntum dan Kuantan Parade, serta parkir awam sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar.
“Orang ramai yang hadir ke Karnival Rakyat Pahang diingatkan memberi kerjasama serta mematuhi arahan-arahan petugas keselamatan dan lalulintas yang bertugas.
“Orang awam dan pengguna jalan raya juga disaran untuk merancang perjalanan sepanjang tempoh Karnival Rakyat Pahang dengan merujuk perancangan lalulintas yang telah disediakan,” katanya.
Menurut beliau, seramai 452 pegawai dan anggota polis dari IPD Kuantan telah di aturgerak bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang berlangsungnya Karnival Rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

