Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 2 FEBRUARI 2024 : Kementerian Komunikasi akan bekerjasama bersama Kerajaan Pahang bagi mempercepatkan penyelesaian masalah internet di beberapa lokasi di negeri ini.
Menteri Komunikasi, YB. Tuan Fahmi Fadzil berkata, usaha ini juga turut membabitkan sekolah-sekolah yang berhadapan masalah internet dengan memfokuskan kepada manfaat yang dapat digunakan oleh para guru.
“Kita akan kerjasama dengan Kerajaan Negeri bersama dengan Exco dan Ahli Parlimen untuk kita kenalpasti sejumlah sekolah yang perlu diberi keutamaan bagi tahun ini terutama menjelang beberapa keputusan yang bakal dibuat oleh Kementerian Pendidikan tentang isu internet di sekolah.
“Jadi kita akan selaraskan di antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan dan juga Kerajaan Negeri, Insyaa Allah kita akan uruskan dengan baik dari segi keutamaan, kemungkinan besar saya lihat wajar sekolah-sekolah untuk anak-anak Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, di Pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Suhaimi Sulaiman, Ketua Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan pelaksanaan JENDELA Fasa 1 di Pahang namun ada beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan bagi memastikan menara yang telah siap dibina dapat segera memberikan perkhidmatan rangkaian internet kepada penduduk.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan gusar terhadap penggunaan media sosial khususnya aplikasi TikTok di kalangan kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah.
Beliau berkata, pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok dan Jabatan Peguam Negara bagi meneliti beberapa tindakan yang wajar diambil bagi mengawal penggunaan akaun berkenaan di kalangan kanak-kanak.
“Jadi kita kena teliti dan saya akan bincang dengan pihak TikTok dan juga dengan peguam negara sekiranya kita perlu ambil apa-apa tindakan perundangan sebab saya risau beberapa tren yang tidak baik kita lihat tular di media sosial termasuk di TikTok dan kanak-kanak boleh terikut-ikut.
“Saya rasa kita perlu awasi apa yang anak-anak kita guna bila mereka menggunakan internet jadi kami berusaha untuk pastikan kesalinghubungan itu lebih baik, ada internet yang baik, laju, murah dan stabil tetapi penggunaan itu, di situ kita lihat perlu ada penyelarasan dan lebih penguatkuasaan. – PAHANGMEDIA

