Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 25 JANUARI 2024 : Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diingatkan agar terus menuntut ilmu selepas menamatkan peperiksaan dan tidak berputus asa.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, banyak peluang terbuka selepas mereka menamatkan alam persekolahan sama ada berpeluang menyambung pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau memilih bidang kemahiran.
“Sebenarnya bagi saya, belajar tidak semestinya di universiti, bagi yang mungkin prestasinya biasa-biasa boleh belajar kemahiran, kalau di Pahang ada Pahang Skill.

“Kemahiran ini pun harganya mahal dalam bidang kerjayanya, kalau mempunyai keputusan yang baik, teruskan belajar hingga ke peringkat universiti, kalau prestasi kurang baik, asah bakat itu dalam bidang kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Solat Hajat SPM dan STPM Peringkat Negeri Pahang 2024 di Masjid Sultan Abu Bakar di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), YBhg Encik Yahaya Haji Tahir dan Ketua Penggerak Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS), YH. Dato’ Haji Firhat Haji Ahmad Sabri.
YB Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong turut menasihati calon-calon SPM dan STPM agar dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan membawa segala dokumen dan alat tulis yang diperlukan.
Sementara itu, menurut Encik Yahaya, seramai 20,752 calon SPM 2023 bagi Negeri Pahang bakal menduduki peperiksaan itu bermula 30 Januari hingga 7 Mac depan.
Manakala lebih 2,500 calon STPM 2023 pula kini sedang menduduki peperiksaan yang telah bermula pada 22 Januari lalu dan akan berakhir pada 7 Mac depan. – PAHANGMEDIA

