Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 25 JANUARI 2024 : Mantan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob memuji usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri Pahang dalam mendekati dan bertanya khabar bekas-bekas wakil rakyat di negeri ini.
Menurutnya, program Ziarah Kasih cetusan idea dan perlaksanaan oleh YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin ini sedikit sebanyak menggembirakan mereka yang pernah berbakti kepada rakyat.

“Bagus, sangat bagus (Ziarah Kasih) dari segi usaha menjaga silaturahim. Saya ucapkan terima kasih kepada YDP, Timbalan Speaker, Ketua Penolong Setiausaha serta kakitangan Dewan Negeri yang datang ziarah saya pada hari ini.
“Orang sakit ni suka kalau saudara mara, kawan-kawan datang lawat. Inisiatif menemui bekas-bekas wakil rakyat ini satu usaha baik menunjukkan bahawa kepimpinan negeri tidak lupa kepada mereka yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya yang pernah memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Pahang paling lama iaitu selama 19 tahun.
Beliau menerima kunjungan daripada YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dan timbalan, YB Encik Lee Chin Chen di sebuah hospital di sini.
Figura politik terkenal ini berada di pusat perubatan berkenaan kerana menjalani pembedahan membuang jari kelingking kaki kanan akibat penyakit kencing manis.

Sementara itu Dato’ Sri Mohd Sharkar yang ditemui berkata, usaha ini adalah tanda ingatan terhadap jasa yang pernah ditaburkan kepada rakyat sepanjang memegang mandat.
“Setakat ini Ziarah Kasih dah temui 13 orang bekas wakil rakyat, antara yang paling tua diziarahi ialah bekas ADUN Bera, Dato’ Jaafar Salleh berusia 94 tahun dan bekas ADUN Benus, Tuan Loo Kou @ Lo Chiew Chuen yang berusia 90 tahun yang bertanding atas tiket bebas pada tahun 1969.
“Kita bagi keutamaan kepada mereka yang lebih (senior) berumur dan tidak sihat. Kita faham Menteri Besar Pahang tak sempat lawat (kekangan jadual tugasan) jadi saya sebagai Speaker Dewan Negeri ganti. Kita tahu dan hargai jasa besar mereka ketika menjadi ADUN antaranya melibatkan penambahbaikan negeri Pahang, penggubalan undang-undang seperti enakmen, rang undang-undang dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA

