Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 JANUARI 2024 : Dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas di dalam kolam latihan kereta kebal di Kem Batu 5 Jalan Karak – Temerloh hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata kesemua mangsa terbabit disyaki telah mandi di dalam kolam sedalam lebih 2 meter berkenaan.
Beliau berkata seramai sepuluh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab telah diarahkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera selepas menerima panggilan pada 5.55 petang.
Menurut beliau kesemua manga telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSAS) Temerloh menggunakan ambulans tentera sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan terdapat empat mangsa terlibat dan pihaknya melakukan pencarian di permukaan lokasi kejadian.
“Dimaklumkan seorang lagi kanak-kanak lelaki masih belum ditemui dan disyaki telah mandi di dalam kolam sedalam 7 kaki berkenaan.
“Pasukan bomba membuat operasi pencarian surface searching di lokasi kejadian serta kerja-kerja mengepam air kolam yang dibantu oleh tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dan anggota tentera.
“Bagaimana pun, setelah pencarian dibuat, kanak-kanak lelaki yang dikatakan masih hilang sebenarnya tidak terlibat dengan tempat
kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media. -PAHANGMEDIA

