Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 25 JANUARI 2024 : Pemberian set alat tulis merupakan pembakar semangat daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata insiatif yang julung kali diadakan ini memberikan set alat tulis berjumlah RM10 seorang kepada 20,270 pelajar di Pahang.
“Objektif program ini yang pertama sekali Kerajaan Negeri Pahang ingin memberi semangat dan motivasi kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM di mana ada lebih kurang 20,000 (pelajar).

“Dengan adanya pemberian kit peperiksaan ini akan menambahkan semangat dan prestasi dan insyaAllah akan membantu mereka untuk mendapatkan kelulusan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Alat Tulis Kepada Pelajar SPM 2023 Sumbangan YAB. Menteri Besar Pahang Anjuran Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) di SMK Lanchang hari ini.
Beliau turut berharap supaya Negeri Pahang dapat mendapat kedudukan yang lebih baik dalam peperiksaan tahun ini berbanding tempat keempat tahun lepas.
“Tahun lepas SPM, kita di Pahang ini dapat tempat keempat di negara kita, saya yakin pelajar dari SMK Lanchang dapat menyumbang untuk kita melonjakkan dari tempat keempat ke tempat yang lebih baik. Tempat ketiga, kedua, atau pertama,” katanya.
Set alat tulis ini telah mula diagihkan semalam kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM di negeri ini yang bermula 30 Januari sehingga 7 Mac ini di negeri ini. -PAHANGMEDIA

