Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 25 JANUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah melakukan persediaan rapi bagi menyambut keberangkatan balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga telah melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan sambutan yang terbaik dilakukan bagi menyambut keberangkatan balik Seri Paduka Baginda berdua pada 30 Januari ini.
“Kita membuat persiapan yang begitu rapi dan beberapa kali perbincangan dan mesyuarat telah dilakukan dan kita akan buat sambutan yang terbaik. Sebab rakyat Negeri Pahang sangat merindui Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong ke Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Alat Tulis Kepada Pelajar SPM 2023 Sumbangan YAB. Menteri Besar Pahang Anjuran Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) di SMK Lanchang hari ini.
Menurut beliau banyak aktiviti kemasyarakatan turut dirancang pada keberangkatan pulang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda berdua.
“Banyak program-program yang kita adakan daripada acara sambutan seperti Karnival Rakyat, tahlil, dan insha-Allah Tuanku akan pergi ke daerah-daerah di Negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau lagi, majlis keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda berdua ke Negeri Pahang juga turut terbuka kepada orang ramai.
“Kita ada jemputan kepada orang ramai, tapi kita akan control juga sebab ramai (dijangka) lebih daripada 10,000 (yang akan hadir) jadi sudah tentu ada kawalan daripada pihak berwajib,” katanya.
Keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda berdua pada 30 Januari ini bermula disepanjang laluan dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Seri Paduka Baginda berdua dijangka berangkat tiba di Pangkalan Udara TUDM Kuantan pada 11 pagi dan dijangka tiba di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah kira-kira 1 petang. – PAHANGMEDIA

