Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 JANUARI 2024 : Kira-kira 200,000 rakyat di seluruh Pahang dijangka membanjiri Karnival Rakyat Pahang yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Februari depan di Dataran Sayangi Kuantan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, karnival ini diadakan bersempena Keberangkatan Balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
“Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik diadakan selama tiga hari karnival berlangsung bersesuaian seisi keluarga.
“Jadi karnival ini untuk meraikan, sebagai rasa gembira kepulangan atau Keberangkatan Balik Tuanku dan sebagai tanda taat setia warga Kerajaan Negeri dan rakyat keseluruhannya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Macam-macam acara akan diadakan sepanjang tiga hari karnival ini berlangangsung antaranya Himpunan Pendekar Pahang, Tayangan Wayang Pacak Filem Pagari Bulan, Food Festival dan Malam Karnival Rakyat Pahang yang menyaksikan perarakan kenderaan berhias,” katanya ketika ditemui selepas Temubual Eksklusif di konti radio Pahangfm, pagi tadi.
Turut diadakan ialah Solat Subuh Macam Jumaat, Larian Kemakmuran 5km dan 10km, Acara Berbasikal 60km, Brisk Walk 5km, Sukan Rakyat, Culture And Art Performances, Sukan BMX, Skateboard, Motosikal Klasik dan berbagai lagi.
Jelasnya, karnival yang julung kali diadakan ini juga turut mengadakan Food Festival dan menampilkan beraneka makanan tradisional dari seluruh Pahang bagi memberi peluang kepada orang ramai yang hadir merasai keenakan juadah di negeri ini.
“Saya jemputlah semua rakyat Pahang tidak kira berbagai peringkat umur, tidak kira latarbelakang, keturunan untuk sama-sama memeriahkan Karnival Rakyat Pahang yang julung-julung kali diadakan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

