Oleh : Amalina Aminuddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 20 JANUARI 2024 : Seramai 292 peneroka Felda Jengka 24 dan 159 peneroka dari Felcra Bukit Nikmat di sini menerima geran hak milik tanah masing-masing.
Semua penerima STR menzahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Pahang dan kepimpinan setempat.
Bagi Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Encik Razak Daud, 65 berkata, rata-rata semua warga peneroka di situ begitu teruja kerana menerima geran masing-masing setelah hampir 40 tahun menunggu saat yang ini.
“Alhamdulillah syukur hari ini dalam sejarah kerana Felda Jengka 24 adalah penerima STR dan merupakan penerima terakhir bagi musim ini.
“Lebih gembira apabila warga peneroka di Felda Jengka 24 bertemu sendiri bersama pemimpin nombor satu negeri ini iaitu Menteri Besar,” katanya.
Seorang peneroka, Encik Hassan Mohd Razin, 58, selaku Ketua Blok beliau sangat bersyukur dan berbesar hati kerana hari ini merupakan tarikh keramat dan akan menjadi satu ingatan untuk seluruh warga Felda buat selamanya.
“Hari ini saya rasakan macam mimpi juga sebabnya lama dah tunggu ni, bertahun lamanya. Saya ingat tak sempat dah dapat tapi alhamdulillah, hari inilah masanya. Terima kasih MB, kami sayang MB,” katanya.
Sementara itu, Puan Che Yah Salleh, 67, berasa sangat gembira dan terharu atas penerimaan geran yang sudah lama dinantikan dan sanggup hadir dengan berkerusi roda untuk menerima sendiri geran yang disampaikan.
“Makcik ni sebenarnya tak berapa sihat, tapi gagahkan juga datang sebab nak terima geran dan nak jumpa MB depan-depan. Terharu sangat rasa..makcik nak ucap sendiri dekat MB terima kasih banyak-banyak sebab bagi geran ni,” katanya.
Bagi Encik Abdul Halim Abdullah, 65, pula, penghargaan dan terima kasih harus diberikan kepada pihak kepimpinan yang sudah bersungguh-sungguh membantu penduduk kampung untuk mendapatkan geran STR.
“Alhamdulillah kami dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk hari ini dapat geran yang lama dinantikan. Terima kasih tak terhingga kepada MB, ahli-ahli Exco, warga kerja felda dan juga naib pengerusi felda yang mana bertungkus lumus untuk dapatkan geran keluasan sepuluh ekar,” katanya. – PAHANGMEDIA

