Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 19 JANUARI 2024 : Kira-kira lima peratus lagi belum menerima Suratan Hak Milik dan ia akan diselesaikan segera, kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, sehingga kini seramai 40,861 orang daripada 43,126 peneroka FELDA di negeri Pahang telah pun menerima Suratan Hakmilik yang disampaikan secara berperingkat.
“Lebih kurang 43,000 penerima hanya tinggal lagi lima peratus sahaja yang belum menerima, sedikit sahaja lagi kerana ada masalah teknikal.
“Kita nak perkara ini selesai dengan cepat dan segera sebab perkara ini dah lama sangat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 dan Felcra Bukit Nikmat serta kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baru Felda di perkarangan Masjid Felda Jengka 24, hari ini.
Seramai 1,838 orang peserta menerima STR Generasi Baharu Felda manakala 292 peserta Felda Jengka 24 dan 159 peserta Felcra Bukit Nikmat menerima Suratan Hak Milik Felda.
Hadir sama Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta kepimpinan di peringkat daerah dan negeri.
Sementara itu ketika ditanya mengenai isu perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), beliau berkata Kerajaan Pahang belum memutuskan sama ada mahu melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi kawasan Felda yang sudah diberikan geran hak milik tanah.
Menurutnya, perkara tersebut sedang dalam peringkat kajian bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan hal berkenaan.
“Urusan perlantikan masih lagi dalam peringkat perbincangan, belum muktamad lagi.. belum bawa ke Exco (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) lagi.
“Kita tengok kesesuaian sebab kita nak (Felda) diuruskan dengan baik. Kalau dua kepala susahlah untuk membuat sesuatu keputusan.. ‘one head is better than two head’. Kita akan mengambil jalan yang terbaik,” katanya. -PAHANGMEDIA