Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 22 JANUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memberi fokus kepada pemantapan sukarelawan di negeri ini daripada pelbagai segi terlebih dahulu berbanding bergantung kepada jumlah sukarelawan.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ia bertujuan melahirkan sukarelawan yang serba boleh di negeri ini.
“…dan jumlah (sukarelawan yang berdaftar) tidak mencukupi untuk cover keseluruhan masyarakat di negeri Pahang ini.
“Tapi sekurang-kurangnya kita sedang berusaha untuk menggiatkan lagi penyertaan anak-anak muda khususnya untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti kesukarelaan.
“Saya tidak mahu kalau ramai pun (jumlah sukarelawan) tapi akhirnya tidak berkualiti. Jadi elok dulu mereka melalui proses latihan sebegini supaya kita boleh lahirkan sukarelawan yang berkualiti dan benar-benar faham peranan yang harus mereka mainkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program Satria In Action (SACTION) Negeri Pahang 2024 di Lang Buana Eco Park, Ulu Cheka di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili.
Menurut beliau, sukarelawan turut terbahagi kepada banyak jenis, dan memahirkan diri dalam pelbagai jenis kesukarelawan ini dapat memudahkan para sukarelawan menjalankan tugas mereka kelak.
“Macam saya dan ahli-ahli saya, kami sukarelawan bencana. Berbeza dengan sukarelawan alam sekitar. Bila tanam pokok di dalam kawasan hutan dan berbukit, kita tak biasa, akhirnya kita tak boleh buat macam sukarelawan alam sekitar.
“Jadi, ilmu, kemahiran ini penting. Jadi mereka (sukarelawan) perlu melalui proses-proses ini dahulu. Nanti kita gerakkan di lapangan dan kita hasilkan sukarelawan yang berkualiti walaupun jumlahnya sedikit buat masa ini,” katanya. -PAHANGMEDIA