Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 17 JANUARI 2024 : “Terima kasih banyak-banyak atas sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang, saya memerlukan bot ni sangat-sangat,” itu kongsi Encik Mat Sallih Hussin.
Encik Mat Sallih, 72, melahirkan penghargaan berkenaan selepas menerima bantuan bot dan enjin bot bernilai RM10,500 daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Saya pesara JUPEM dan sekarang ini jadi nelayan pantai. Rasa bersyukur alhamdulillah sebab bot dah usang, dah lama, sebab itu kita minta bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Bersyukur sangat dapat (bantuan) hari ini. Dan dapat sumbangan daripada Menteri Besar Pahang. Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak,” katanya yang tinggal di Kampung Anak Air di sini.
Sementara itu, menurut Encik Muhammad Hazrin Mohd Aludin, 24, berkata bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri Pahang amat diperlukan bagi membesarkan lagi perniagaan kedai makannya.

“Saya dapat bantuan baikpulih kedai. Saya nak tambah barang-barang dah keperluan kedai di Sri Damai yang telah setahun beroperasi. Saya nak tambah meja, tambah atap sebab sekarang kecil dan boleh muat (pelanggan) dalam 12 orang tapi kalau siap nanti, boleh muat dalam 40 orang.
“Saya rasa bersyukur Kerajaan Negeri dapat tolong dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya yang membuka kedai makan menjual makanan pagi dan tengah hari.
Seramai 31 penerima menerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM374,080 yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang. – PAHANGMEDIA

