Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 JANUARI 2024 : Pemasangan jambatan bailey di laluan Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat di Lebuhraya Tun Razak yang mendap berjalan lancar dan kerja-kerja keseluruhan kini siap 80 peratus.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan jambatan berkenaan hampir siap sepenuhnya dan akan dibuka dalam masa terdekat.
“Pemasangan jambatan dah siap, sekarang sedang buat jalan tuju (laluan untuk naik jambatan bailey), cuma cuaca hujan tak mengizinkan untuk premix (penurapan). Jika sudah siap kita akan buka dalam masa terdekat.

“Kita minta laporan perkara-perkara yang perlu diperbaiki agar tindakan (binaan jalan pada masa akan datang) dapat membantu untuk melaksanakan kerja-kerja yang tepat. Setakat ini apa yang berlaku sememangnya di luar jangkaan ekoran cuaca buruk,” katanya dalam satu sidang media khas yang diadakan hari ini.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai isu kerosakan jalan raya di negeri ini, beliau menjelaskan perkara berkenaan sudah disuarakan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika bertemu YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, baru-baru ini.
“Masalah jalan ini banyak berlaku ketika musim Monsun Timur Laut dan kita berdepan kekangan dari segi peruntukan. Kita kemukakan permohonan setiap tahun dan biasanya tidak dapat jumlah yang diminta.
“Macam tahun lepas kita minta lebih RM400 juta untuk kerja baik pulih jalan rosak, tapi dapat dalam RM200 juta saja. Pada tahun ini pula kita minta peruntukan sebanyak RM700 juta untuk baik pulih jalan yang rosak dan sememangnya berharap dapat peruntukan yang diperlukan bagi memastikan kerja-kerja baikpulih jalan dapat dilakukan dengan sebaiknya,” katanya. -PAHANGMEDIA

