Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 11 JANUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan supaya projek tebatan banjir yang dibina di negeri ini dipandang serius dan diselesaikan segera.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan supaya pihak kerajaan tidak menjadikan projek ini sebagai bahan politik.
“Saya harap jangka panjang kerajaan harus mempercepatkan projek-projek, program-program tebatan banjir yang mana telah pun dirangka oleh pihak berwajib di seluruh negeri Pahang.

“Kita haraplah janganlah berpolitik dalam hal ini. Seelok-eloknya (lakukan) secara serius dan secara ‘urgent’ untuk membina tebatan-tebatan banjir di seluruh negeri Pahang,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1, di sini, hari ini.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menyeru kepada semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS agar menjaga kebersihan bagi mengelakkan daripada dijangkiti sebarang penyakit.

“Cuma sekadar nak mengingatkan, semasa kita berada di PPS ini, saya harap kita kena jaga kebersihan. Jangan pula semasa banjir ini kita bersusah di PPS, saya bimbang selepas banjir habis, kita dapat penyakit pula.
“Macam-macam penyakit sekarang. Wabak COVID pun masih lagi berada di negara kita. Jadi kita tidak mahu penyakit-penyakit lain pula. Sebab itu ingatan saya ialah tentang kebersihan persekitaran di PPS ini khususnya keadaan bilik air,” titah baginda lagi.
Seri Paduka Baginda dalam lawatan berkenaan turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa lemas Muhammad Adhwa Haslan, 31, yang maut selepas terjatuh di Sungai Bebar Utara kelmarin.
“Kepada mangsa terkorban, pihak Kerajaan akan sumbang RM10,000 daripada pihak Persekutuan, dan pihak Kerajaan Negeri akan beri RM5,000, dan saya sendiri pun ada juga (kurniaan). Jadi kita ucap takziah kepada keluarga berkenaan.
“Dan kepada yang lain saya harap jagalah kesihatan, jagalah anak-anak cucu kita, ibu ayah yang tua, dan semoga mereka selamat berada di PPS dan bila balik ke rumah nanti,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda telah berkenan mencemar duli menyantuni serta menyampaikan kurniaan kepada penghuni di tiga lagi PPS iaitu PPS Dewan Semai Bakti Felda Chini 3; PPS Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3; dan PPS Sekolah Kebangsaan Merchong Jaya di sini. -PAHANGMEDIA

