KUANTAN, 10 JANUARI 2024 : Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju memberi perhatian terhadap permohonan Kerajaan Pahang untuk memperoleh peruntukan tambahan bagi menyelesaikan isu jalan raya dan bekalan air di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu adalah hasil perjumpaan beliau bersama Perdana Menteri dalam Sesi Perbincangan Khas di Perdana Putra, Putrajaya, kelmarin.
Katanya, dalam pertemuan itu juga, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan tambahan agar dua isu utama tersebut diselesaikan.

“Saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah JKR (Jabatan Kerja Raya), CEO PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad), kami telah membawa beberapa permohonan kesemuanya untuk rakyat di Negeri Pahang.
“Kerana kita tahu di Pahang ini ada masalah berhubung jalan terutama jalan persekutuan dan juga masalah bekalan air untuk masyarakat di bandar dan luar bandar.
“Alhamdulillah, walaupun tidak dapat diselesaikan semuanya, tetapi saya yakin separuh daripada permintaan Kerajaan Negeri itu akan dapat ditunaikan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya di sini hari ini. – PAHANGMEDIA

