Oleh : Amalina Aminuddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 10 JANUARI 2024 : Seramai 17 orang penerima telah menerima cek sumbangan bernilai RM398,306 daripada Kerajaan Pahang yang berlangsung di Majlis Perbandaran Bentong (MPB) di Bentong, pagi tadi.
Kesemua 17 penerima telah menerima cek sumbangan masing-masing yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Seorang penerima, Encik Mohd Nazrul Hakim Abdul Nasir, 48, berasa gembira dan bersyukur dengan sumbangan kerajaan yang telah diterima.
“Saya amat berterima kasih kepada MB kerana dengan cek sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak kos pembedahan tulang anak saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Puan Rohani Abdul Majid, 45, dari Felda Chemomoi turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada MB dan juga kerajaan negeri kerana sangat prihatin kepada rakyat yang memerlukan.
“Alhamdulillah syukur sangat dengan bantuan dan sumbangan cek ini, saya boleh gunakan untuk pembedahan mata saya di Hospital IIUM Eye Specialist Kuantan. Terima kasih banyak, MB memang terbaik,” katanya.
Selain cek sumbangan rawatan perubatan, bantuan lain yang turut diberikan ialah pembiayaan penganjuran seminar, perbelanjaan kelab, naik taraf keperluan sekolah dan pelaksanaan program belia. – PAHANG MEDIA

