Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 JANUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sedang memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan kemudahan asas di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata permohonan ini diajukan semasa pertemuan bersama YAB. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Semalam saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah JKR (Jabatan Kerja Raya), CEO PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad), kami telah membawa beberapa permohonan kesemuanya untuk rakyat di Negeri Pahang.
“Kerana kita tahu di Pahang ini ada masalah berhubung jalan terutama jalan persekutuan dan juga masalah bekalan air untuk masyarakat di bandar dan luar bandar.
“Jadi saya telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberikan tambahan peruntukan supaya ianya dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Negeri Pahang, di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut beliau lagi, Perdana Menteri juga telah memberi jaminan untuk mempertimbangkan permohonan tersebut bagi keselesaan rakyat negeri ini. -PAHANGMEDIA

