Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 9 JANUARI 2024 : Mangsa banjir di Pahang menurun kepada 1,197 orang daripada 335 keluarga berbanding 1,359 orang daripada 375 keluarga pada pagi tadi.
Sebanyak 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka membabitkan tiga daerah iaitu Maran, Pekan dan Rompin.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, keadaan banjir di tiga daerah terbabit menunjukkan tren menurun.
Terdapat dua PPS yang telah ditutup iaitu PPS Balairaya Kampung Bak Bak dan Pusat Pemindahan Tetap Luit di Maran.
Sehingga jam 12 tengahari tadi, seramai 174 mangsa daripasa 45 keluarga telah dipindahkan ke lima PPS di daerah Maran dan Rompin pula merekodkan seramai 663 mangsa daripada 201 keluarga yang masih berada di 11 PPS.
Manakala daerah Pekan pula seramai 360 mangsa daripada 92 keluarga dipindahkan ke lapan PPS.
Sementara itu, paras air di Sungai Pahang di enam daerah mencatatkan peningkatan iaitu daerah Lipis, Bera, Maran, Pekan dan Kuantan. – PAHANGMEDIA

